»
Showing posts with label Cerita Yang Saya Suka. Show all posts
Showing posts with label Cerita Yang Saya Suka. Show all posts

Thursday, December 13, 2012

Sejarah Nama Tempat Di Johor


Sejarah Nama Tempat di Johor




1. Kampung Belukar Juling, Mersing.

Pada awal penubuhannya, di kampung belukar juling dikatakan terdapat seorang lelaki cina bermata juling yang tinggal di situ kerana kawasannya yang jauh dan berdekatan dengan laut. Pada suatu hari, lelaki cina itu dikatakan telah membersihkan kawasan tersebut untuk menanam pokok getah. Namun, apabila semuanya selesai lelaki berkenaan hilang tanpa dapat dikesan. Akhirnya kawasan tersebut telah ditumbuhi semak dan belukar. Ketika kawasan itu mahu dijadikan kawasan petempatan, penduduk di situ menamakan kawasan berkenaan sebagai belukar juling, sempena lelaki cina bermata yang membersihkan kawasan itu. Walaupun identiti lelaki bermata juling itu tidak diketahui sehingga ke hari ini, nama belukar juling kekal hingga sekarang. 


2. Felda Ulu Dengar, Kluang.

Felda ini mendapat namanya sempena sungai dengar yang terletak berdekatan dengan gunung belumut. Desiran air sungai berkenaan bukan sahaja boleh didengar malah dapat dinikmati sepanjang sungai berkenaan dan boleh dilihat jika pengunjung serta penduduk menyelusuri sungai berkenaan. Namun, dikatakan ketika itu aliran air di hulu sungai tidak dapat dilihat dan hanya bunyi derasannya yang dapat didengar dari kawasan berhampiran. Menurut penduduk di felda ini, pada ketika itu, mereka yang menyelusuri sungai itu tidak dapat melihat air yang mengalir di hulu sungai dan hanya dapat mendengar bunyinya sahaja. Apabila felda ini diwujudkan, nama Ulu Dengar digunakan sempena keunikan suasana di hulu sungai berkenaan. 


3. Kampung Liang Batu, Pagoh. 

Nama kampung ini diperoleh sempena satu peristiwa, iaitu air yang mengalir melalui liang (terowong) menghala ke Sungai Muar. Apabila air itu hampir tiba di Sungai Muar, ia membelok ke kiri. Air yang melalui liang berkenaan jatuh ke batu yang dikatakan disusun oleh Sang Kelembai untuk menagkap ikan. Berikutan peristiwa ini, kampung berkenaan diberikan nama Kampung Liang Batu.



Credit : Kenali Johor

Thursday, November 29, 2012

Antara sebab mengapa REZEKI SUSAH NAK MASUK... :)


Antara sebab mengapa REZEKI SUSAH NAK MASUK... :)


  • Gemar mengungkit-ungkit pemberian
  • Asyik mencanang perihal duit yg tidak cukup untuk urusan itu dan ini.
  • Berkira untuk bersedekah walaupun seringgit
  • Berkira untuk membantu memudahkan hal yg baik
  • Riak bila bersedekah
  • Banyak berbuat maksiat/kemungkaran
  • Tidak/kurang beristighfar
  • Tidak bersyukur/banyak mengeluh
Nota: 
Rezeki bkn sahaja dalam bentuk wang, tp kebahagiaan, peluang menyambung belajar, peluang kerja, anak, jodoh dan lain-lain. 

Ada juga yg berbuat kemungkaran tetapi tetap memperoleh rezeki yg melimpah ruah. Tp ketahuilah itu nikmat yg plg azab di kemudian hari dan ia dipanggil 'istidraj'. Wallahua'lam.

Saturday, September 01, 2012

Adam & Hawa






Sinopsis

AIN HAWANI, zaman solonya ternoktah pada usia remaja. Hanya kerana silap perhitungan, timbul prasangka buruk, menyebabkan dia dan Adam Mukhriz terjerat. Rayuannya tidak dipedulikan. Lelaki itu pula diam membisu, seolah-olah benar apa yang berlaku. Akhirnya, ijab kabul antara mereka terlafaz dalam paksa dan tanpa rela. 

Sayangnya, hubungan suami isteri ini hanya tertulis di atas kertas sahaja. Ain yang kecewa, pergi jauh mencari harga diri. Adam yang ditinggalkan, menghitung hari-hari nan sepi. Setiap saat rindunya terus melimpah. Namun Ain tidak pernah berpaling melihat cinta yang mekar di hatinya. Ah... Adam pasrah! Semua itu salahnya kerana tidak berani memaknakan kata-kata. 

Setelah lapan tahun pergi dan menanti, Ain dan Adam dipertemukan di depan pintu Majidilharam. Bagi Adam, kebetulan ini memang didoakan sekian lama. Ain pula terus membenci dan menganggap ikatan mereka sudah terputus. Hanya lafaz Adam yang ditunggu. 

Tapi tegarkah Ain? Sejak pertemuan itu, hati Ain berbolak-balik. Nafasnya bagai berombak, perasaannya jadi gementar dan hidupnya sudah tidak keruan hanya kerana Adam. Benarkah dalam hati ada cinta? Tapi keegoannya cuba menidakkan. Ingin diluah, mulut tak terkata. Ingin disimpan hati tak tertanggung. Bagi Adam, dia tetap menanti Hawanya biarpun lapan tahun lagi...

p/s : masih teringat zaman sekolah menengah .....

Tuesday, July 03, 2012

Sejarah Nama Kampung Di Johor


Sejarah Nama Kampung Di Johor


Orang Johor mungkin tahu ada nama-nama tempat yang agak pelik seperti Gelang Patah, Tongkang Pecah, Sepah Beruang, Sg Pinggan, Sg Kuali, Sg Buntu, Sg Mati, Parit Ponorogo, Parit Botak, Sri Bunian dan lain-lain. Ada beratus-ratus lagi nama tempat yang pastinya menimbulkan tanda tanya kepada sesiapa yang pertama kali mendengarnya. 

Tempat-tempat ini mendapat namanya berdasarkan sesuatu peristiwa sejarah, mitos, atau sekadar mengambil sempena nama haiwan atau tumbuh-tumbuhan yang terdapat di situ. 

Kisah di sebalik nama beberapa tempat di Johor:

1. Gelang Patah, Johor Bahru
Nama asalnya ialah Galang Patah iaitu nama yg diberikan oleh Menteri Besar Johor Pertama, Dato' Jaafar Muhammad. Menurut cerita yg disampaikan oleh Lt Jen Dato' Jaafar Onn kepada Yayasan Warisan Johor, sewaktu Dato' Jaafar (Menteri Besar) bersama isteri dan rombongannya mengemudi sampan dengan menggunakan galang panjang ke beberapa kawasan untuk membuka petempatan baru, tiba di satu kawasan galang yg digunakan itu patah. Smpena kejadian itu, Dato' Jaafar menamakan tempat itu sebagai Galang Patah. Namun, disebabkan sebutan yg berubah-ubah di antara galang dan gelang, ia akhirnya dikenali sebagai Gelang Patah sehingga ke hari ini. 

2. Kampung Belokok, Pontian
Kampung ini diasaskan oleh Tahir Sekeruk, iaitu nama ketua kampung pertamanya. Nama belokok diberikan kepada kampung ini sempena nama ikan jemudak atau lebih dikenali sebagai ikan belokok oleh penduduk tempatan. Pada ketika itu, sungai berhampiran kampung berkenaan iaitu Sungai Pulai dikatakan terdapat banyak ikan belokok. Apabila kampung berkenaan dibuka, Tahir Sekeruk memutuskan untuk menamakan kampung itu sebagai Kampung Belokok. 

3. Kampung Seri Bunian, Pontian 
Dibuka pada tahun 1924 oleh Tuan Haji Abdul Wahab yang berasal dari Indonesia. Pada masa itu, kampung ini dipanggil Kampung Sungai Bunyi Hulu sempena nama sebatang anak sungai yang merentangi kampung ini. Terletak di bawah jajahan Mukim Rimba Terjun dalam Daerah Pontian. Mengikut sejarah ringkasnya, kampung ini awalnya dibangunkan oleh Tuan Haji Abdul Wahab dan keluarganya sebelum diteruskan oleh Tuan Haji Othman, Tuan Haji Md. Yakin, dan Tuan Haji Markom. Semasa membangunkan kampung ini, pelbagai kejadian aneh telah berlaku seperti terdengar bunyi-bunyian yang pelik dan penuh misteri oleh penduduk kampung, malah ada sesetengah penduduk yang dikatakan pernah terserempak dengan makhluk ghaib yang dipanggil orang Bunian terutamanya semasa membangunkan tapak Sekolah Kebangsaan Seri Bunian. Alkisah pada tahun 1958, sebuah filem arahan Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee yang berjudul “Sumpah Orang Minyak” sedang hangat ditayangkan dan lagu “Puteri Bunian” yang begitu merdu dan mendayu-dayu sering berkumandang di corong-corong radio pada ketika itu sehingga penduduk kampung mencadangkan agar nama kampung ditukar dari nama Kampung Sungai Bunyi Hulu kepada Kampung Seri Bunian bersempena judul lagu tersebut. Sehubungan itu, sempena Majlis Perasmian Sekolah Kebangsaan Seri Bunian pada tahun 1960 maka kampung ini diisytiharkan dengan nama Kampung Seri Bunian dan telah dirasmikan oleh Yang Mulia Ungku Mohammad Salleh, Pegawai Daerah Pontian pada ketika itu.

4. Kampung Sungai Buntu, Pengerang
Kampung yg terletak di daerah Kota Tinggi ini mendapat namanya kerana laluan air di muara sungai yg dikatakan terperangkap, kesan daripada timbunan pasir di penghujung muara sungai berkenaan. Sejak 100 tahun lalu, air sungai ini dikatakan hanya mengalir ke laut pada musim tengkujuh. Disebabkan keadaan ini, sungai berkenaan kelihatan seakan-akan buntu untuk mengalirkan airnya ke laut, sebaliknya air mengalir ke anak-anak sungai. 

5. Mukim Sungai Pinggan, Pontian 
Kawasan ini dipercayai mendapat namanya daripada mitos seorang puteri yg menjaga pinggan mangkuk untuk digunakan dalam majlis perkahwinan masyarakat bunian. Dikatakan penduduk kampung akan pergi ke sungai itu untuk meminjam pinggan mangkuk yg dijaga puteri itu. Sempena mitos itu, sungai berkenaan dinamakan Sungai Pinggan. (mitos yg sama turut dikaitkan dgn Kg Puteri Menangis, Kg Sepah Beruang di Benut)

6. Desa Temu Jodoh, Segamat
Asalnya Kampung Desa Temu Jodoh dikenali sebagai Tanah Rancangan Pemuda. Pada tahun 1977, diadakan majlis perkahwinan serentak peserta tanah rancangan berkenaan melibatkan 24 pasangan. Pada majlis itu, 24 pelamin didirikan di padang bola kampung berkenaan. Kesemua mempelai kemudian diarak menaiku kereta ke Masjid Jamek Daerah Segamat untuk dinikahkan. Majlis berkenaan ditaja oleh Menteri Besar Johor ketika itu, Tan Sri Othman Mohd Saat. Sempena peristiwa itu, kampung ini ditukar nama kepada Desa Temu Jodoh.

7. Tongkang Pecah, Batu Pahat
Nama Tongkang Pecah diberi sempena peristiwa tongkang orang Melayu Jambi yg pecah ketika melalui Sungai Sembrong, Batu Pahat. Mereka dikatakan lari dari Jambi, Indonesia untuk membuka petempatan baru di Tanah Melayu. Ketika empat buah tongkang mereka melalui sungai berkenaan, salah sebuah tongkang itu telah pecah menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan perjalanan dengan tongkang yg lain. Kumpulan orang Melayu Jambi itu kemudian membuka petempatan di situ dan menamakan kawasan itu sebagai Tongkang Pecah. 

8. Pasir Gudang, Johor Bahru
Suatu ketika dahulu, Pasir Gudang hanyalah sebuah perkampungan nelayan. Pada tahun 1918 kawasan Pasir Gudang (dahulu disebut Kampung Pasir Udang) telah diterokai oleh seorang yang bernama Long Abu yang dipercayai berasal dari Riau, Indonesia. Apabila penduduk Kampung Pasir Udang semakin bertambah, beberapa kampung telah didirikan seperti Kampung Ulu (kini limbungan baik pulih MSE), Kampung Tengah (kini kawasan Tenaga Nasional Berhad), Kampung Hilir dan Kampung Sungai Perembi. Penduduk kampung-kampung ini terdiri dari bangsa Melayu dan sedikit Cina, kesemuanya berjumlah 83 keluarga. Mereka bekerja sebagai nelayan, petani dan buruh ladang. Pada tahun 1920, empat buah lagi kampung telah dibuka iaitu Kampung Air Biru (kini menjadi tapak pelabuhan), Kampung Pasir Merah (kini menjadi tapak pelabuhan), Kampung Pasir Puteh (masih kekal sehingga sekarang) dan Kampung Pulau Tekong (menjadi wilayah Singapura). Secara tidak langsung nama Pasir Udang mengalami perubahan menjadi Kampung Pasir Gudang oleh kerana di Kampung Ulu terdapat lombong pasir untuk dieksport ke Singapura. Pasir-pasir yang telah dikumpul akan dilonggokkan dengan banyaknya di suatu tempat. Dipercayai bersempenakan keadaan tersebut maka timbulnya nama Pasir Gudang.

9. Sungai Peradin (Parit Jerman), Pontian 
Sungai Peradin terletak di Kampung Belokok, lebih kurang 5km dari Pekan Peradin, di mana lokasinya dikeliling dengan kawasaan Hutan Paya Bakau yang luas. Pada suatu masa dahulu dikatakan di situ terletaknya penempatan satu kelompok Bangsa Jerman yg mana mereka telah mengusahakan ladang ladang pertanian di sana dan mengeluarkan hasil pertanian melalui sungai. Bagi menjelaskan kebenaran cerita kehadiran Bangsa Jerman tersebut,terdapat kesan peninggalan mereka, melalui pelbagai bentuk tiang-tiang dan lantai yang diperbuat daripada simen berkemungkinan adalah bekas gudang serta jeti. Nama Kampung Jerman juga, yang terletak tidak jauh dari situ menguatkan lagi akan penempatan bangsa Jerman di situ. — SUMBER



Wednesday, February 22, 2012

Vanilla Coklat vs Astrid – Tentang Rasa




Sinopsis Vanilla Coklat :
Kisah bermula mengenai seorang pelajar perempuan bernama Zara 19 tahun( lakonan Izara Aishah) dan pelajar lelaki Aamir (lakonan Aiman Mentor) 20 tahun yang belajar di sebuah kolej yang sama, malangnya mereka berdua ni saling benci membenci dan sudah ada kekasih masing -masing.
Aamir selalu mengusik Zara kerana Zara seorang pelajar cemerlang di kolej, Zara membenci Aamir kerana baginya Aamir seorang kaki perempuan.
Liana, rakan sekelas Zara yang gedik dan mengada-ngada menganggap kononnya Aamir adalah hak miliknya. Liana (Nabila Daly) sentiasa berkepit dengan Aamir supaya semua orang melihat mereka benar-benar bercinta. Berbeza dengan Zara, Liana seorang wanita yang lemah lembut namun semua itu dibuat-buat kerana dia sememangnya bercita-cita ingin berkahwin dengan anak orang kaya. Zara mempunyai kekasih hati iaitu Kamal, yang dikenalinya sejak sekolah menengah lagi.
Ibu bapa Zara, Dr. Ungku Musa dan isteri tidak menyukai Kamal, begitu juga ibu bapa Aamir, Datuk Ahmad dan Datin Dalila yang kurang menggemari sikap Liana kerana tidak menghormati orang tua. Suatu hari, Dr. Ungku Musa dan Datuk Ahmad merancang untuk menyatukan anak mereka.
Seperti berbezanya Vanila dan Coklat, begitulah sukarnya untuk menyatukan Zara dan Aamir. Pelbagai usaha dilakukan oleh ibu bapa mereka agar mereka bersetuju untuk berkahwin sehingga Datuk Ahmad terpaksa berpura-pura diserang sakit jantung dan permintaan terakhirnya ialah ingin melihat Zara dan Aamir disatukan. Akhirnya, Aamir akur dan bersetuju.
Walaupun telah berkahwin, Zara dan Aamir tetap hidup berasingan. Zara telah memberi syarat yang harus dipatuhi oleh Aamir. Menyedari situasi ini, Dr. Ungku Musa dan Datuk Ahmad merancang sebuah percutian bulan madu untuk Zara dan Aamir. Mereka berdua tidak membantah namun pelbagai alasan diberikan untuk tidak berbulan madu di luar negara dan hanya memilih Cameron Highlands sebagai destinasi pertama mereka. Masih tiada kemesraan di antara mereka.
Zara dan Aamir meneruskan pengajian mereka seperti biasa, Kamal (Iqram Dinzly) pula tiap-tiap hari menghasut Zara, jika dia masih bersama Aamir, dia tidak akan bahagia kerana perangai Aamir yang teruk. Suatu hari, satu pergaduhan besar berlaku di antara Zara dengan Aamir sehingga Aamir meninggalkan Zara keseorangan di tepi jalan ketika hujan. Zara menghalau Aamir keluar dari rumah kerana dia terpedaya dengan kata-kata Kamal. Apabila Zara membuka pintu, dia melihat Aamir telahpun pengsan. Sebenarnya Aamir tidak makan satu hari kerana dia berjanji untuk makan bersama Zara.
Dari saat itu, Zara dihantui rasa serba salah dan mula menunjukkan naluri seorang isteri. Dia mula menyedari perkahwinan bukanlah perkara main-main. Tiba cuti semester, Zara dan Aamir pergi ke Genting Highlands untuk meluang masa bersama. Masing-masing malu apabila salah seorang cuba bersikap romantik dan manja. Aamir mengakui dia telah jatuh cinta pada Zara sejak dari hari mereka dinikahkan. Buat pertama kali mereka tidur seperti pasangan suami isteri yang lain.
Zara dan Aamir tidak sabar ingin pulang ke Kuala Lumpur untuk memberitahu keluarga mereka bahawa mereka ingin meneruskan perkahwinan ini. Sebuah majlis diatur oleh ibu bapa Zara dan Aamir untuk meraikan berita gembira ini. Kamal dan Liana turut dijemput untuk hadir ke majlis tersebut. Mereka berdua telah merancang sesuatu untuk memisahkan Zara dan Aamir.
Pada hari majlis tersebut dijadualkan berlangsung, pelan jahat Kamal dan Liana untuk mengenakan Aamir berjaya. Dr. Ungku Musa mengamuk. Dia menyangka Aamir membuat onar dengan Liana dan terus memukul Aamir. Datuk Ahmad cuba menenangkan Dr. Ungku Musa daripada terus membelasah anaknya kerana menurutnya, kita tidak tahu perkara sebenar yang terjadi antara Liana dan Aamir. Dr. Ungku Musa menarik tangan Zara dan memutuskan hubungan antara Aamir dan Zara.
Sejak kejadian tersebut, hubungan Dr. Ungku Musa dan Datuk Ahmad renggang. Bagi Zara, dia mempercayai suaminya kerana dia mengenali perangai Liana. Bagaimana Zara dan Aamir ingin memulihkan hubungan keluarga mereka? Apakah rancangan seterusnya Dr. Ungku Musa dan Datuk Ahmad selepas masing-masing bermusuh? Apa pula strategi Kamal dan Liana untuk memenangi hati keluarga kekasih mereka?
Saksikan barisan pelakon, Izara Aishah, Aiman Hakim Ridza (Mentor 5), Iqram Dinzly, Nabila Daly, Arash Mohd, Emma Akma, Zuhairi, Liza Abdullah di dalam Vanila Coklat,








Lirik Lagu  Astrid – Tentang Rasa
Aku tersesat
Menuju hatimu
Beri aku jalan yang indah
Ijinkan ku lepas penatku
‘tuk sejenak lelap di bahumu
Dapatkah selamanya kita bersama
Menyatukan perasaan kau dan aku
Semoga cinta kita kekal abadi
Sesampainya akhir nanti selamanya
Tentang cinta yang datang perlahan
Membuatku takut kehilangan
Ku titipkan cahaya terang
Tak padam di dera goda dan masa
Dapatkah selamanya kita bersama
Menyatukan perasaan kau dan aku
Semoga cinta kita kekal abadi
Sesampainya akhir nanti selamanya
Dapatkah selamanya kita bersama
Menyatukan perasaan kau dan aku
Semoga cinta kita kekal abadi
Sesampainya akhir nanti selamanya
Dapatkah selamanya kita bersama
Menyatukan perasaan kau dan aku
Semoga cinta kita kekal abadi
Sesampainya akhir nanti selamanya

Suka Lagu Astrid - Tentang Rasa <3


Saturday, December 17, 2011

Ombak Rindu




Pengarang  : Fauziah Ashari 
Negara  : Malaysia 
Bahasa  :  Bahasa Melayu 
Genre    :  Drama 
Penerbit   :   Alaf21 
Jenis media   :   Cetakan (kulit lembut) 
Bilangan muka surat   :   576 ms 
ISBN    :  983-124-029-9
Diikuti oleh  : Cinta Tiada Akhirnya, Rindu Cintaku

Sinopsis

Izzah adalah seorang gadis yatim piatu yang kematian orang tua mereka akibat kemalangan jalan raya. Justeru itu, pak saudaranya, Taha mengambil tugas memelihara Izzah. Isteri Taha tidak senang dengan kehadiran Izzah dan menuduh Izzah membawa bencana dalam keluarga.

Pak cik Taha banyak berhutang. Disebabkan kesempitan wang dia sanggup menjual anak saudaranya itu kepada seorang tauke kelab malam. Izzah terpaksa mengikut kehendak pak saudaranya walaupun hatinya tidak rela.

Di situlah dia telah berkenalan dengan seorang pelanggan bernama Hariz. Hariz telah membeli Izzah dengan harga yang mahal dari tauke kelab itu dan membawa dia keluar dari neraka jahanam itu. Di atas permintaan Izzah, akhirnya Hariz berkahwin dengan Izzah tetapi dengan syarat semuanya mesti dirahsiakan.

Kehadiran Mila Amylia, anak Tan Sri Rashdan, iaitu model dan pelakon terkenal tanahair menggugat cinta Izzah yang mula berputik kepada Hariz. Dapatkah Izzah menerima Mila Amylia sebagai madunya? Bagaimana pula penerimaan Mila pada Izzah? Dapatkah hariz membahagiakan Izzah dan Mila? Bahagiakah rumah tangga yang dibina di atas kehadiran orang lain? Bagaimanakah tindakan Datuk Sufiah setelah mengetahui cerita sebenarnya?






Sumpah aku tak pergi tengok Movie Ombak Rindu,sebab apa? Sebab aku lagi senang baca novel dari tengok movie. Tapi aku minat giler dengan lagu Ombak Rindu, best!!!! 


Nak tengok Songlap atau Suatu Malam Kubur Berasap.....
Mudah-mudahan dapat, Amin,

Tuesday, November 29, 2011

Paku Di Dinding


Ada seorang pemuda yang sangat pemarah. Dia tidak dapat mengawal kemarahannya walaupun ianya hanya satu masalah kecil sahaja.Pada suatu hari, bapanya telah menghadiahkannya dengan seguni paku. "Untuk apakah paku-paku ini ayah?" tanya pemuda tersebut. "Setiap kali kamu marah, kamu pakulah tembok batu di hadapan rumah kita ini, bagi melepaskan kemarahan mu" jawab ayahnya. Pada hari yang pertama sahaja, pemuda itu telah memaku sebanyak 37 batang paku pada tembok batu tersebut.

Selepas beberapa minggu, setelah dia dapat mengurangkan kemarahannya, jumlah paku yang digunakan juga berkurangan. Dia mendapati, adalah lebih mudah mengawal kemarahannya dari memukul paku menembusi tembok batu tersebut. Akhirnya tibalah pada suatu hari, dimana pemuda tersebut tidak marah, walau sekali pun.

Dia pun memberitahu ayahnya mengenai perkara tersebut dengan gembira. Bapanya mengucapkan tahniah dan menyuruh dia mencabut kembali paku itu satu persatu, pada setiap hari yang ia lalui tanpa kemarahan. Hari berganti hari, dan akhirnya dia berjaya mencabut kesemua paku-paku tersebut. Pemuda tersebut lantas memberitahu perkara tersebut kepada bapanya dengan bangganya.

Bapanya lantas memimpin tangannya ke tembok tersebut dan berkata "Kau telah melakukannya dengan baik, anakku, tetapi lihatlah kesan lubang-lubang di tembok batu tersebut, tembok itu tidak akan kelihatan sama lagi seperti sebelumnya. Bila kau menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika marah, ianya akan meninggalkan kesan parut dan luka, sama seperti ini. Kau boleh menikam seseorang dengan pisau dan membunuhnya.

Tetapi ingatlah, tak kesah berapa kali kau memohon maaf dan menyesal atas perbuatan mu, namun lukanya masih tetap ada. Luka di hati adalah lebih pedih dari luka fizikal.

Sahabat adalah permata yang sukar dicari.Mereka membuatkan kamu ketawa dan menggalakan mu ke arah kejayaan.Sahabat juga adalah seorang pendengar, berkongsi suka dan duka dan sentiasa membuka hatinya kepada kita.

Maafkan saya sekiranya saya pernah meninggalkan kesan berlubang di dinding hati anda semua....

Tuesday, November 15, 2011

Pakaian Remaja:Di mana silapnya??


"Pakaian Remaja?" jika kita dengar atau baca perkataan tersebut, secara automatik kita akan terbayang cara berpakaian remaja kita sekarang terutama pakaian remaja perempuan. Jenis pakaian yang paling awal tergambar di minda kita adalah pakaian mereka yang seksi, ketat, terlondeh sana sini dan dedah sana sini. Tidak dinafikan pakaian demikian juga dikenakan oleh belia dan orang dewasa, namun tumpuan kita kini adalah kepada golongan remaja yang bakal menerajui negara.

Cara berpakaian juga mencerminkan akhlak, jadi ia amat penting untuk dibincangkan bagi menjaga akhlak remaja kita. Di dalam Al-Quran, Allah berfirman dalam Surah Al-Ahzab ayat 59 tafsirnya :

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar) cara demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang baik) maka dengan ini mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi."

Dari ayat di atas tadi, jelas pada kita bahawa pakaian sebilangan remaja kita kini bertentangan dengan suruhan dan perintah Allah. Namun, mereka tidak menghiraukan yang demikian asalkan mereka nampak bergaya, menarik, selesa 'kononnya' dan mengikut gaya fesyen terkini. Selain pakaian yang jelas menjolok mata, ramai juga di kalangan remaja kita yang berpakaian '2H', HALAL TAPI HARAM. Ini amat ketara jika kita perhatikan sekeliling kita, ramai juga remaja kita yang bertudung.

Apabila sekali lihat, memang nampak mereka menutup aurat, namun jika diperhatikan ramai di kalangan mereka yang berpakaian ketat dan tidak kurang yang berlengan pendek. Pakaian lengan 'three quarter' (tiga perempat) paling glamor di kalangan remaja yang bertudung. Suatu ketika dulu, pakaian demikian begitu mengaibkan dan memalukan, namun kini seolah-olah pakaian yang dialu-alukan. Mana tidaknya, pakaian sedemikian banyak 'bersangkutan' dan 'berampaian' di gedung-gedung perniagaan di negara kita ini.

Pelbagai fesyen baru tumbuh bagai cendawan. Terdapat juga pakaian bersaiz kecil sehingga tidak keterlaluan jika kita katakan sekarang begitu sukar untuk membezakan antara pakaian kanak-kanak dan remaja. Jika kita kupas '2H' memang banyak pengertiannya. Namun satu sahaja lagi yang akan kita perkatakan di sini, pakaian tradisi kita yang telah dieksploitasikan. Baju kurang misalnya, pakaian rasmi negara kita yang begitu sopan dipandang mata, namun yang menyedihkan kainnya telah dibelah sehingga menampakkan betis ketika si pemakai melangkah.

Trend 'punk', 'funky', 'rappers', 'gengster', 'skinhead', 'grunge' dan sebagainya juga mempunyai cara pemakaian mereka yang tersendiri. Trend demikian bukan hanya di kalangan kaum lelaki malah kaum perempuan. Walaupun pakaian remaja lelaki tidak begitu menimbulkan masalah dalam mendedahkan aurat, namun ia tidak sopan malah menjatuhkan maruah budaya negara kita. Ini kerana pakaian tersebut melambangkan kelemahan pegangan remaja kita terhadap agama dan budaya bangsa.

Bangsa asing mentertawakan akan kebodohan dan kelemahan remaja kita kerana dengan mudah mereka membeli dan mempengaruhi minda remaja kita. Sebilangan dari remaja kita juga, 'lupa' atau 'tidak tahu' akan jantina mereka sendiri sehingga si lelaki memakai pakaian perempuan, sementara perempuan pula sebaliknya, sungguh kasihan. Golongan seperti ini adalah dilaknat oleh Allah. Ini jelas dinyatakan dalam hadis Nabi Besar kita Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud,

"Sesungguhnya Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki."

Dengan sedikit contoh pakaian di atas, jelas pada kita bahawa cara berpakaian sebahagian remaja kita bertentangan dengan cara pakaian budaya Melayu sekali gus bertentangan dengan cara pemakaian yang digariskan Islam, agama rasmi negara kita. Para remaja begitu ghairah untuk mengikut budaya asing yang dianggap moden dan maju. Mereka takut dan terlalu ego untuk dikatakan ketinggalan zaman, kuno dan berfikiran sempit.

Islam memang menggalakkan kita untuk terus memajukan diri dan bukanlah menjadi kesalahan jika kita mengikut negara-negara Barat tersebut selagi ia tidak bertentangan dengan tuntutan Islam yang suci. Namun dalam hal pakaian, tidak sesuai untuk kita mengikut mereka, ini kerana pakaian mereka yang jelas bertentangan dengan Islam dan tidak sesuai dengan cara hidup negara kita yang berfalsafahkan Melayu Islam Beraja (MIB). Sebagai remaja Melayu Muslim, kita tidak perlu mengikut budaya asing dalam cara berpakaian.

Pakaian kita sudah cukup sempurna dan sopan dipandang. Berbaju kurung bagi kaum perempuan, manakala berbaju 'MIB' dan Cara Melayu bagi lelaki. Namun tidak semua pakaian tradisi tidak sesuai untuk agama Islam. Jika kita lihat pakaian tradisi Melayu, baju kebaya zaman dahulu contohnya, ketat dan antaranya dibuat dari kain kasa sehingga menampakkan kulit si pemakainya. Pun begitu, pakaian tersebut telah diperbaiki dengan rekaan pakaian kebaya labuh. Jadi kita bolehlah mengenakan pakaian tersebut.

Di sini tidak bermaksud agar remaja kita sentiasa mengenakan pakaian demikian, remaja kita boleh juga memakai mana-mana pakaian yang bersesuaian dengan situasi dan tempat. Bersukan contohnya, lelaki hendaklah memakai pakaian sukan dan berseluar panjang, manakala perempuan bertudung, berseluar panjang dan berbaju lengan panjang. Begitu juga ketika berjalan bersiar-siar dan makan angin. Walaupun tanpa memakai baju kurung, MIB atau Cara Melayu, remaja kita boleh juga memakai kemeja dan 'blaus' berlengan panjang, labuh dan tidak menampakkan kulit serta bertudung bagi kaum hawa.

Sebenarnya, tiada budaya yang tertentu yang mesti diikut dalam berpakaian. Kita boleh mengikut budaya kita sendiri atau budaya asing seperti budaya Arab dengan memakai jubah atau budaya Cina dan sebagainya selagi ia sopan dan memenuhi garis pandu yang ditetapkan Islam. Remaja itu sendiri yang tahu pakaian yang sesuai dengan selera mereka. Tepuk dada tanya selera! Paling penting hukum Islam jangan dipermainkan.

Renungan untuk diri sendiri juga,

Friday, October 14, 2011

Maaf, Aku Tak Boleh


Hampir sebulan aku menjalani kehidupan sebagai seorang mahasiswi . Banyak perbezaan dengan alam persekolahan dahulu. Sedang aku sibuk mengemas nota dan buku-buku yang bersepah di atas meja, tiba-tiba kedengaran daun pintu bilik aku diketuk. Seketika selepas itu, kelihatan sebatang tubuh sudah berdiri sambil tangannya masih ditombol pintu.

"Assalamualaikum Firza, awak perasan tak ada poster tampal kat depan blok kita?"

"Waalaikumsalam. Lah, Ain masuklah.Poster tentang apa?" Ain masuk dan terus merebahkan punggungnya ke katil seraya berkata:

"Alah, tentang hari Majlis Tinta Kasih Kolej hujung minggu depan. Ada nak pakai orang untuk jadi team teater untuk persembahan majlis tu nanti. Jom kita masuk Firza! Awkkan pandai berlakon, saya nak jadi belakang-belakang tabir je."

"Bolehlah. Lama dah tak join teater ni. Set!"

"Cantik! Nanti saya hantar nama kita pada ajk eh." Jawab Ain dengan penuh semangat.

Riak kegembiraan bersinar di wajah Ain membuatkan aku turut menempiaskan senyuman.

"Eh, jangan lupa hantar nama Lisya dengan Zalfa sekali. Diorang mesti nak join."

" Jangan risau la Firza, diorang dah cakap awal-awal nak join team teater tu. Baiklah saya balik dulu. Ha, sebelum saya terlupa, tadi kak Iffah mesej, dia kata antara Maghrib dengan Isyak ni ada usrah kat surau, jangan lupa turun."

"Insya-Allah saya turun. Terima kasih Ain."

Aku merebahkan diri ke katil. Tidak lama selepas itu minda aku menerawang dan ingatanku terbang pada peristiwa yang berlaku dua minggu selepas aku bergelar seorang mahasiswi jurusan senibina. Jurusan yang agak "hardcore" kata orang membuatkan aku rasa "lost"seminggu belajar di situ.

Mata pelajarannya juga susah. Mungkin aku belum biasa dengan keadaan pembelajaran di universiti yang agak berbeza dari sekolah. Aku sering memerapkan diri di dalam bilik. Ain yang merupakan kawan sekolah aku juga mengambil jurusan dan universiti yang sama denganku turut perasan perubahan yang berlaku pada diriku.

"Firza kenapa saya tengok awak asyik diam je?"

"Tak tahulah Ain, kenapa saya rasa lost dan tak tenteram je ni. Saya rasa macam tak boleh "carry on" lah dengan jurusan senibina ni."

"Sabarlah Firza, baru seminggu kita belajar. Lama-lama nanti biasa la tu. Jangan ikutkan sangat perasan awak tu. Awak boleh."

"Tapi.. ermm, entahlah tak tahu nak cakap. Jiwa kacau je ni, rasa kosong."

"Apa kata Maghrib ni kita pergi surau. Saya dengar ada pengisian agama malam ni kat surau. Mana tau awak lebih tenang dan tenteram lepas tu."

"Jomlah. Gila juga asyik terperap dalam bilik ni je."

"Tau pun awak." kata Ain sambil tersenyum.

Malam itu aku ke surau bersama Ain, pengisian malam itu sangat-sangat menenangkan jiwa dan membuat hati aku lebih tenang. Kekacauan dan kekosongan jiwa terisi dengan ubat rohani.

Teringat antara isi pengisian tersebut, orang yang gemar menghadiri majlis ilmu akan dirahmati Allah S.W.T dan hidupnya sentiasa dinaungi para Malaikat.

Seorang ulama, Ibrahim Al-Khawas r.a juga ada memberikan nasihat berkenaan kaedah untuk ubat hati: Nasihatnya berbunyi:

" Sesungguhnya ubat hati itu ada lima perkara, maka ubatilah hati kamu dengan lima perkara tersebut. Pertamanya, bacalah al-Quran dengan menghayati isi kandunganya. Kedua, mengosongkan perut dari terlalu kenyang atau berpuasa. Ketiga, bangun (beribadat) di waktu malam. Keempat, menghampirkan diri kepada Allah (beribadat) di sepertiga malam dan yang kelimanya, sentiasa bersama-sama di dalam majlis orang-orang yang soleh."

Selepas dari pengisian tersebut aku menanamkan tekad dalam hati untuk sering berkunjung ke majlis ilmu. Semangatku seperti ditiup kembali dan dicas dengan sentimen-sentimen positif. Niat aku untuk menukar jurusan sebelum ini juga mati begitu sahaja.

Mungkin ada hikmah disebalik kesusahan yang berlaku. Malam itu aku merawat rohani dengan membaca al-Quran terjemahan yang baru aku beli dua hari yang lalu. Itulah al-Quran yang pertama aku beli dengan duit poket aku sendiri. Aku meneliti setiap terjemahan surah al-Baqarah.

Tibanya di ayat yang ke-216, Titisan-titisan jernih mengalir membasahi pipiku.

"Barangkali kamu membenci sesuatu sedangkan ia adalah baik buat kamu, dan barangkali kamu menyukai sesuatu sedangkan ia adalah buruk buat kamu. ALLAH mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."(2 : 216)

Allahlah yang menciptakan kita dan Dialah yang mengetahui setiap keperluan hamba-Nya dan Dia jugalah yang mengetahui apa yang terbaik buat kita.

Sedang kita?

Asyik merungut dengan kesusahan sedikit yang kita hadapi. Ayat ni menyedarkan aku untuk bersyukur dengan apa yang aku ada. Ramai lagi orang di luar sana yang berkeinginan untuk memasuki Universiti tetapi mengalami kekangan wang dan sebagainya.

Sedangkan aku?

Mengeluh saja padahal perjuangan baru bermula.

Peristiwa itulah yang menjadi "turning point" dalam hidupku dan sejak dari itu aku banyak menghabiskan masa lapangku dengan mengunjungi majlis-majlis ilmu di kampus seperti ceramah, usrah dan halaqah.

Disitu jugalah aku dan rakan-rakan menemui kak Iffah yang merupakan naqibah dan menyertai kumpulan usrah yang dikendali olehnya. Hampir setiap minggu kami akan berusrah dan membincangkan sesuatu tajuk .

Banyak juga perubahan yang berlaku dalam diriku sikit demi sedikit dan aku sangat bersyukur kerana dipertemukan dengan hidayah Allah yang sangat berharga ini. Aku lebih tenang sekarang.

Krinnnnggg...Krinnnggggg !!

Deringan telefon bimbit yang agak kuat mematikan lamunanku sebentar tadi. Kelihatan nama"Ain " tertera di skrin telefonku. Aku menekan punat "answer".

"Assalamualaikum Firza, jom pergi makan. Kawan yang lain dah tunggu di kafe."

"Waalaikumsalam. Baik, lima minit lagi saya turun."

Aku mematikan telefon lalu bingkas bangun dari katil menuju ke tandas dan bersiap turun.

Malam itu setelah usai berusrah bersama kak Iffah, aku kembali ke bilik. Aku mengambil telefon bimbit yang sengaja aku tinggalkan. Di skrin telefon bimbitku terpamer satu pesanan ringkas:

"(Salam Tinta Kasih) Tahniah! Anda dipilih untuk menyertai team teater kami. Sila sahkan penyertaan dengan datang ke mesyuarat pada pukul sepuluh malam ini. Sekian . S/u"

Lebih kurang satu jam lagi mesyuarat tersebut akan bermula. Aku duduk di meja belajar dan membuat sedikit tugasan yang diberikan oleh pensyarah siang tadi. Beginilah rutin harian aku di dunia kampus. Sisa-sisa masa yang ada, aku gunakan untuk menyiapkan tugasan-tugasan dan mengulangkaji pelajaran.

Jam di meja belajarku lagi lima minit akan mengarah ke angka sepuluh. Lantas aku bangun dan bersiap-siap untuk turun ke bilik mesyuarat kolej.

Seminggu berlalu bergitu sahaja. Hampir seminggu aku dan rakan-rakan banyak menghabiskan masa dengan latihan teater. Setiap malam kami ada perjumpaan dan latihan. Hubungan kami dan ahli kumpulan teater tersebut saban hari menjadi semakin rapat.

Kebanyakan lelaki yang terlibat dalam teater tersebut berpewatakan agak lembut dan mereka lebih selesa bergaul dengan perempuan berbanding lelaki . Mungkin disebabkan itu, aku dan rakan-rakan jadi rapat dengan mereka berbanding dengan lelaki lain.

Sejak dari persembahan teater tersebut, kami sering mengulangkaji pelajaran, makan dan ke kelas bersama-sama. Kami sudah seperti sahabat yang sangat karib. Ke mana sahaja bersama-sama dan "outing" juga bersama-sama. Jika salah satu dari kami dikacau atau diganggu , kami semua akan pertahankan. Aku sangat sayang pada persahabatan ini, jika satu hari tidak bergurau senda dengan mereka terasa hari itu seperti tidak lengkap.

Di suatu petang, Zaid salah seorang dari mereka menelefon aku,

"Assalamualaikum, korang free tak petang ni? Jom kita lawan tenis. Hafith dengan Mirza pun ajak sekali ni."

"Waalaikumsalam. Boleh lah. Kitorang pun tengah borak-borak je ni. Bosan juga. Baik pukul berapa?"

"Lepas Asar terus tunggu kat gelanggang ye."

" Ok. Kalau group korang kalah kena belanja kitorang makan malam ni. Amacam?"

"Boleh! Tak ada hal lah."

Selepas saja waktu Asar , kami terus bersiap-siap dengan track bottom dan berkasut sukan terus bergegas ke gelanggang. Aku juga sudah tidak sabar hendak berentap dengan Zaid dan yang lain.

"Korang 'warm up' dulu tau, pastikan kita menang dengan mamat-mamat tu."

"Jangan risau Firza, mesti kita menang lagi kali ni. Diorang bukan pandai pun main tenis ni. Gaya je lebih." Zalfa menjawab dengan selamba.

"Pandai-pandai je awak Zalfa. Kita tengok je macam mana nanti." Jawab ku sambil tergelak kecil.

Perlawanan sengit berlaku antara kami berlapan dan kemenangan berpihak pada kumpulan aku , Zalfa, ain dan Lisya. Aku memandang sinis penuh makna pada kumpulan yang kalah dan bersuara

"Zaid !!! Malam nanti jangan buat-buat lupa pula." Sambil aku tersenyum sinis dan berlalu pulang bersama rakan-rakan yang lain.

Muka Zaid agak bengang kerana sudah tiga kali kalah dalam perlawanan tenis, tetapi dia tetap mengukir senyuman apabila aku menyindirnya .

Makan malam pada malam itu ditaja oleh Zaid dan rakan-rakannya. Kami bergelak gembira malam itu. Sambil sindir menyindir tentang perlawanan petang tadi. Riuh rendah kafe tersebut dengan suara kami berlapan.

Pelajar-pelajar lain yang sedang menikmati juadah makan malam di sekeliling meja kami juga kadang kala mencuri pandang kearah meja kami. Mungkin kami mengganggu ketenangan mereka untuk makan.

"Eh sekarang dah pukul 9.50 lah."Tiba-tiba Lisya bersuara sambil matanya memandang kearah jam tangan Casionya.

"Kenapa kalau dah pukul 9.50 Lisya?" Aku bertanya penuh hairan.

"Eh Firza, awak tak ingat ke? Kan malam ni kita ada usrah pukul sepuluh. Hah, lupa la tu."

"A'ah lah.Tu lah gelak sakan sampai terlupa. Jom lah kita pergi. Lagi 10 minit je. Zaid, kami gerak dulu ye. Ada hal"

Kami berempat bingkas bangun dan meninggalkan meja yang masih riuh rendah dengan suara"Zaid and the geng".

Malam itu, mata aku susah untuk dilelapkan. Fikiranku berlegar-legar memikirkan perbincangan kami semasa usrah tadi. Tajuknya "Batas Pergaulan".

"Kak Iffah, kalau lelaki tu lembut dan dia banyak berkawan dengan perempuan macam mana? Tak boleh ke kita berkawan rapat?" Aku bertanya dengan penuh tanda tanya.

"Walau dari perwatakan atau lahiriahnya ada sedikit "keperempuanan" tetapi batinnya tetap lelaki dik. Tetap bernafsu pada kaum wanita. Takkan lah nanti dia akan berkahwin dengan lelaki pula. Hukumnya tetap sama seperti lelaki ajnabi yang lain." Jelas kak Iffah ringkas tetapi aku dapat memahaminya.

Aku tidak boleh terus begini. Mungkin selepas ini aku dan rakan-rakan perlu jarakkan hubungan persahabatan dengan Zaid dan rakan-rakannya. Betul kata Kak Iffah, walau apa alasannya, mereka tetap lelaki. Mereka tetap ada perasaan terhadap wanita. Aku terasa malu dengan diri sendiri dan Allah S.W.T. Mungkin hubungan rapat kami berlapan boleh menimbulkan fitnah oleh orang sekeliling kami terutamanya rakan-rakan sekelas.

Esoknya aku berbincang dengan semua rakan-rakanku, Ain, Lisya dan Zalfa. Mereka pun berperasaan seperti aku juga. Serba salah menyelubungi diri kami berempat . Tiap-tiap minggu kami mengikuti usrah tetapi di luar kami tetap bergaul mesra dengan lelaki ajnabi.

Kami sangat menyesal atas apa yang berlaku. Rupa-rupanya banyak mulut yang sudah mengatakan perihal kami berlapan.

"Ya Allah, ampunkanlah segala dosa kami yang baru melangkah mencari sinar iman ini Ya Allah. Jangan Kau palingkan hati kami setelah Kau berikan petunjuk kepada kami Ya Allah. Amin."

Malam itu adalah kertas peperiksaan terakhir kami pada semester pertama ini. Alhamdulillah, Aku dapat menjawab dengan tenang begitu juga dengan rakan-rakan yang lain. Dalam perjalanan keluar dari dewan, kami terserempak dengan Zaid dan rakan-rakan. Sudah kebiasaannya mereka akan menunggu aku dan rakan-rakan selepas habis kelas.

"Firza, kenapa laju sangat nak balik. Jom lah "open table" (pergi makan) malam ni. Dah habis exam kan."

"MAAF ZAID, AKU TAK BOLEH." Aku menjawab dengan nada perlahan dan aku rasa sudah cukup membuatkan Zaid faham.

Sedih meruntun hati aku dikala itu. Sudah satu semester kami sering bersama dan bergelak ketawa. Pelbagai masalah kami kongsi bersama. Segala kenangan bersama terimbas di layar minda ku tika itu, datang silih berganti. Tetapi aku perlu kuat dan tabah.

Sekarang, aku perlu relai semua ini untuk menjaga ikhtilat sesama mukmin. Aku dan rakan-rakan juga perlu sedar yang kami sudah ditarbiah. Sampai sahaja di bilik, aku menunaikan solat fardhu Isyak dan solat sunat Taubat.

Aku meminta ampun kepada Allah S.W.T atas segala kekhilafan diri selama ini. Aku memohon agar Allah memberi aku dan rakan-rakanku kekuatan untuk terus istiqamah menjaga diri dari lelaki yang bukan mahram kami. Moga Allah perkenankan doa kami. Amin.

Glosari

1) Lelaki Ajnabi=Lelaki-lelaki asing, iaitu yang bukan suaminya dan juga bukan mahramnya. Aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi ialah keseluruhan badannya kecuali muka dan dua tangan (hingga pergelangannya).

-Artikel iluvislam.com-